Thursday 20 November 2014

Cita Dan Angan


Apa yang saya mahukan ialah adanya sukan bola sepak yang secara konsisten. Bukan untuk saya main tapi sekadar lihat, sorak dan sokong. Sejak beberapa tahun ini, pertandingan bola sepak di daerah Raub hilang dari mata dunia apatah lagi dijadikan bualan mulut-mulut peminat bola sepak setempat. Tetapi limpahan pasukan futsal telah menyebabkan sukan futsal menjadi sukan nombor 1 di daerah ini(dilihat dari kiraan kasar sahaja). Pelbagai pertandingan diadakan. Ada yang hadiahnya lumayan seperti jumlah wang ringgit yang mencecah ribuan ringgit berserta trofi dan ada juga yang hanya sekadar Rm100-300 sebagai habuan utamanya. Tetapi itu tidak mengapa kerana ianya sedikit sebanyak menaikkan semangat anak-anak muda dan juga pakcik-pakcik tua yang siangnya sekadar pergi ke pejabat, "punch card" tepat pada waktunya dan keluar minum ke kedai kopi depan pejabat Risda hanya selepas 8 minit duduk di atas kerusi di meja kerjanya, dan di malamnya pula pergi ke gerai Zul Hensem dan minum teh tarik kurang manis segelas dua. Tidak ketinggalan juga adik-adik yang masih di bangku sekolah namun punyai bakat besar dalam sukan futsal ni turut serta menyertai sekaligus mengembangkan jangka usia dari murid sekolah ke penjawat awam yang berumur 35 tahun ke atas.

           
     Kemana hilangnya liga bola sepak yang dulunya menyinari dan memenuhi waktu-waktu petang rakyat Raub? Sebelum ini pernah saya katakan perihal ini tapi sekadar pandangan serong saya sendiri. Ada yang benar ada yang tidak. Bukan ingin menuduh dan memburukkan mana-mana individu ataupun persatuan yang terlibat untuk menjayakan pertandingan yang dikira berprestij di mata penduduk setempat. Mungkin disebabkan jumlah penyertaan yang mengurang, ataupun ketandusan wang ringgit untuk melaksanakan dengan jayanya. Yang saya pasti, darah yang mengalir di dalam setiap pemain bola sepak di daerah ini samada diakui ataupun tidak berkobar-kobar untuk bermain di pertandingan seperti sebelum-sebelum ini. Walaupun hanya dipandu dengan rasa ingin menang dan mahukan hadiah yang diberi, namun disebalik itu, ianya juga mampu menunjukkan bahawa terdapat ramai manusia di daerah Raub ini yang pandai bermain bola sepak dan sekaligus membuka mata bukan dunia tetapi cukuplah penduduk setempat bahawa pertandingan sebegini harusnya diadakan sejak 10 tahun yang lalu lagi.


   Seperti kita(penduduk Raub) tahu, bertahun-tahun pasukan Brother Joe FC mengungguli pertandingan tersebut. Liga Emas Raub nama diberi. Walaupun perndah kecundang sekali dua namun rekod mereka boleh dikatakan masih lagi kilat bersinar.Pemain yang dimiliki kelab itu boleh dikatakan lengkap dan handal. Tidak ketinggalan juga pasukan dari Jelu yang boleh dikira sebagai pesaing dekat Brother Joe FC. Pernah berlaku satu insiden dimana pergaduhan tercetus antara dua kelab ini, tetapi bukan keburukkan yang saya ingin kongsikan. Cukuplah sekadar dijadikan pengajaran. Sukan bola sepak adalah hiburan untuk penonton, pentas untuk menunjukkan masing-masing dan pasukan, gelanggang untuk berlawan secara bersih dan juga penaik semangat peminat terhadap "the beautiful game".


Liga Emas Raub yang sebelum ini melengkapi petang-petang kita dengan aksi bola sepak yang bersih dan teratur dan juga kadang kala ganas seperti mereka-meraka yang bermain di Liga Perdana Inggeris yang nun jauh beribu batu di sana. Namun begitu ianya seperti dibuat dengan acuh tak acuh. Liga itu juga seperti hidup segan mati tak mahu. Orang kata, tak "proper". Tapi semua itu boleh diperbaiki namun saban tahun pertandingan itu berlangsung seperti tiada perubahan yang terjadi. Tapi siapa lah saya hendak pertikai mereka. Saya hanya anak muda yang hanya pandai berbual.

           
Saya punyai impian untuk lihat semula naikknya sukan ini di daerah Raub. Liga yang kompetitif dan bersih. Biarpun dilabel sebagai amatur tetapi cukuplah untuk kita tonton dengan mata kita sendiri. Malam nak lepak pulak. Jadi sini saya ceritakan cita-cita dan impian saya.


            Adanya liga utama yang mengandungi 8 pasukan(paling kurang) dan 12 maksimanya. Setiap pasukan akan bermain 14 perlawanan termasuk timbal balik(lihat pada jumlah pasukan, jika lebih 12, tidak perlu ada timbal balik). Setiap pasukan harus mengumpul paling kurang 16 pemain(11 dalam padang, 5 di bangku simpanan) dalam pasukan meraka. Perlawanan liga akan diadakan 2 kali seminggu. Ini kerana kekurangan jumlah padang di daerah Raub. Jika jumlah pasukan yang banyak, perlawanan liga akan diadakan 3-4 kali seminggu. Cukup masa untuk pemain berlatih dan jurulatih mengatur taktikal. Setiap pasukan akan diberi peruntukan wang sebanyak Rm5000(untuk 16 pemain, 4 staf pasukan) 2 bulan sebelum musim baru bermula. Wang itu diberi dan ikutlah pasukan itu nak urus wang itu macam mana sekali pun. Namun jumlah peruntukkan wang ini bukanlah tetap pada RM5000. Jika jumlah ahli pasukan itu lebih, maka jumlahnya lebih. Dikira kasar, seorang akan menerima sebanyak RM250. Gaji dan bonus diurus sendiri oleh kelab itu. Pembelian pemain dibenarkan dan hanya 4 orang pemain dari daerah/negeri lain sahaja dibenarkan untuk setiap kelab. Ini kerana ingin membolehkan ramai lagi penduduk setempat yang boleh menyertai mana-mana kelab bagi menunjukkan bakat mereka. Undang-undang dan kiraan mata mengikut FIFA. Ini kera untuk menerap sikap "professional" di dalam setiap pemain dan staf.


            Sejurus selepas tamatnya liga utama ini, akan berlangsungnya saingan untuk merebut piala pusingan. Konsep pertandingan piala pusingan ini diambil terus dari Piala FA England. Pertandingan kalah mati. setiap pasukan akan diundi dan jika jumlah pasukan adalah ganjil, satu pasukan akan mendapat "bye". Pemenang piala pusingan ini akan dapat membawa pulang piala pusingan dan juga bonus dalam bentuk wang ringgit. Dengan adanya saingan piala pusingan yang berlangsung setelah tamatnya liga utama ini dapat memberikan aksi bola sepak yang terus menerus. Peminat bola sepak tidak perlu menunggu lama untuk aksi seterusnya.


            3 tahun selepas berlangsungnya liga ini, jika berjaya dan dapat dijalankan dengan lancar, pasukan dari daerah lain dalam negeri Pahang akan dijemput untuk bermain di liga ini. Menjadikan jumlah pasukan akan bertambah. Ini bukan sahaja membuatkan liga ini semakin kompetitif malah menaikkan nama sukan bola sepak di Raub dan juga negeri Pahang ini sendiri. Banyak bakat muda dapat dicungkil dan dibawa ke pentas yang lebih tinggi. Ambil contoh anak muda Sungai Lui 2, Syahmim Yahya yang kini bermain sebaris dengan Indraputra dan Shukor Adan dan pernah merasa siangan akhir Piala FA. Beliau boleh dijadikan sumber inspirasi anak-anak muda yang punyai cita-cita yang besar dan tinggi.


            5 tahun selepasnya, penaja-penaja mula dibawa masuk dan jumlah pasukan bertambah jumlahnya. Tanah-tanah kosong akan dibuka untuk dibuat padang bola sepak yang moden. Bangunan pejabat persatuan bola sepak daerah akan dibina supaya ianya lengkap untuk mereka yang bekerja. Ini kerana bukan sahaja mereka perlu mengurus liga ini, tetapi membuat program pembangunan bola sepak. Untuk mendapat hasil yang berkualiti, bola sepak harus didik sejak sekolah rendah lagi. Pelbagai program akan dilaksanakan. Tidak lupa juga menjaga pasukan belia, bawah-16, bawah-12 dan juga MSSD serta MSSP. Sekolah sukan tidak akan dibuka kerana sudah ada sekolah sukan di negeri Pahang ni. Jadi saya taknak kacau projek itu.


            Dengan harapana daerah lain akan berbuat begitu,liga-liga di seluruh negeri Pahang akan dihubungkan dengan adanya piala antara daerah. Seperti konsep Liga juara-Juara Eropah. 1 atau 2 pasukan dari setiap daerah akan bermain di satu pertandingan dimana mereka diundi. Di ambil bulat-bulat dari konsel Liga Juara-Juara Eropah(UCL) kecuali ianya terus ke pusingan kalah mati. Juara tidak akan diberi bintang pada logonya kerana ini bukan Piala Dunia dan ini bukannya negeri Johor. Lainlah ini negeri Johor. Kalau pasukan tu menang 10 kali, jenuh nak cari tempat nak letak bintang. Logo banyak bintang ni dah serupa logo Subaru.


            Semua perancangan angan-angan saya ini perlu diturut serta oleh pihak Majlis Daerah Raub, Persatuan bola sepak Raub dan juga Pahang dan juga pihak-pihak sekolah yang dimana padangnya disewa. Tidak lupa juga pihak polis dan hospital. Tapi sayangnya Raub tidak punyai hospital swasta dan kita tahu keupayaan hospital kerajaan macam mana. Telefon suruh ambulan datang, 30 minit lepas tu baru sampai. Padahal hospital kat Bukit Koman je. Orang dah hilang suku darah dari badan dia baru nak sampai. Bangang. Sebarang pertelingkahan harap dapat dikawal pihak urus setia dan pihak berkuasa.

           
            Ada yang kata saya gila, tak masuk akal dan mengarut. Ada yang kata pasukan bola sepak negara kita akan layak ke Piala Dunia tahun 2014. Ada orang kata dia gila? Tak gila cuma perancangannya saya tak betul cara. Bosnia Herzegovina, negara yang kucar kacir dilanda peperangan, dengan tenang menyelinap masuk ke piala dunia di Brazil baru-baru ini. Namun semua ini adalah angan-angan anak muda yang tidak punyai kebolehan untuk bermain bola sepak dengan sempurna. Hanya mampu berangan dan mengkritik. Tapi tidak pernah salah mengimpikan sesuata yang kita suka.



Demi sukan tercinta. Demi bola sepak.